Jakarta: Seorang remaja dilaporkan meninggal dunia ketika bermain permainan video atas talian dengan punca kematiannya masih menjadi tanda tanya.
Mayat Naufal Hanifa Fadlurrahman, 18, dilaporkan ditemui dalam keadaan masih duduk menghadap komputernya ketika bermain permainan video di sebuah kafe siber di Desa Gedeg, Mojokerto, Jawa Timur.
Ketua Rukun Tetangga 16, Darmanto memberitahu akhbar Okezone, kejadian berlaku lewat Jumaat lalu dan punca kematian masih tidak diketahui.
“Saya dimaklumkan mangsa mulanya nampak kejang namun disangkakan bergurau. Tetapi tiba-tiba dia sudah tidak bernyawa,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata: “Ibu bapa mangsa yang tiba di tempat kejadian terlalu terkejut sehingga ibunya enggan membenarkan petugas Palang Merah mengangkat mayat anaknya,” katanya.
Sementara itu, seorang netizen, Budiman Hadisantoso berkata, Naufal ditemui masih dalam keadaan duduk tetapi sudah tidak bernyawa.
Kejadian itu mencetuskan persoalan netizen dengan ramai menganggap Naufal mengalami serangan jantung, tetapi ada juga yang mengagak remaja itu terlalu asyik bermain sehingga terlupa makan. - Agensi